KAROMAH ABAH ANOM : Berjumpa Dengan Nabi Alkhidr A.S di Mekkah




Pada tahun 1983, Abah ke haji bersama keluarga, bersamanya juga Drs Ustaz Yusuf Hamzah. Ada satu kejadian aneh berlaku di dalam Masjidil Haram, dimana serajin-rajin manusia yang menunaikan haji dan umrah akan tercegak dan tercenggang mendengarkannya.

Dikisahkan kepada kami oleh Almarhum Pak Kurnia, bahawa satu ketika bila Abah sudah selesai menunaikan tawaf dan sa'i, tiba-tiba masuk ke pekarangan Masjid seorang lelaki yang berjubah yang sangat berwibawa, dirinya penuh dengan kehaibatan, sehingga hampir semua yang memandangnya akan pasti berdiri tercegak, beliau ini seolah-olah memiliki besi berani yang luar biasa di mana ada di antara yang sedang tawaf pun berdiri tegak tidak berjalan kerana ingin melihat lelaki berjubah ini. Orangnya tinggi sedikit dari kadar kebiasaan orang Arab, tetapi yang sangat menghairankan, beliau seolah-olah 'memukau' semua yang melihatnya, dan siapa sahaja yang melihatnya ingin sungguh mengetahui apa yang nak dilakukannya.

Lelaki berjubah ini sebaik sahaja masuk masjid dan menarik perhatian jamaah Al-Haram, beliau menuju langsung ke Abah sehingga orang-orang di keliling Abah terpaku memerhatikannya. Sebaik sahaja lelaki ini berhadapan dengan Abah, beliau memberi salam sambil berkata dalam bahasa Arab yang bermaksud : 'Aku menyerahkan umatku kepada mu sekarang,' lalu Abah menjawab dalam bahasa Arab 'Saya terima', kemudian beliau menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Abah dan beliau juga bersalaman dengan pengiring Abah ketika itu ( berkemungkinan : Drs Ustaz Yusuf Hamzah ) . Kemudian lelaki ini meninggalkan tempat itu dan tiada seorang pun berani mendekatinya kerana pancaran kehebatannya. Orang ramai yang melihat detik tersebut mula mengunjungi Abah untuk bersalaman, sehingga boleh dikatakan hampir tercipta tarikan dan rebutan manusia kedua selepas Hajar Aswad. Dalam suasana dilema yang penuh dengan pertanyaan, pengiring Abah tadi bertanya kepada Abah : Siapa beliau tadi ya Abah ? Abah menjawab : Ya mungkin saja Alkhidir alaihis salam

Selepas Haji dan Ziarah Nabi s.a.w, Abah bersama keluarga terus melakukan Ziarah Kubra ke Iraq menziarahi Tuan Sheikh Abdul Qodir Jailani. Ada kejadian aneh juga berlaku ketika itu, ketika sedang rancak berzikir di sisi maqam Tuan Sheikh, anak Abah yang sudah mempunyai ketinggian rohaninya ketika itu dipanggil orang 'Kang Aji'- beliau melihat bintang-bintang di langit berjatuhan dengan banyaknya dan semua yang jatuh itu- jatuh ke tubuh Abah sehingga seketika tubuh Abah bercahaya dengan terang benderang.

'Semoga Allah , membangun umat ini dengan wira-wiraNya sehingga menjadi contoh teladan kepada yang lain bahawa agama bukan hanya teks, hafalan dan amal tetapi juga kewujudan Rijal'
Previous
Next Post »